Tuesday 3 January 2012

Pembangkang Nak Kumpul 100,000 Orang Di Mahkamah Isnin Ini, Kerja Murni Atau Kerja Gila?



Nampaknya selepas perhimpunan BERSIH yang menyaksikan puluhan ribu manusia berada di jalanan, Kuala Lumpur sekali lagi bakal menyaksikan ribuan lagi penyokong pembangkang berkumpul.

Tujuannya cuma satu -  untuk memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes salah laku liwatnya.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata pakatan pembangkang bersetuju untuk menggerakkan dan berkumpul di Kompleks Mahkaham Jalan Duta walaupun polis telah mengeluarkan arahan keras untuk tidak mengadakan perhimpunan semasa keputusan diumumkan yang telah mengambil masa dua tahun.

“Sistem kita begitu rapuh, kita perlu menjangka senario terburuk. Bersama PAS dan DAP kami akan mengumpul 100,000 orang di mahkamah untuk memberikan sokongan kami kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Ahli Parlimen Gombak ini.

Beliau juga mengingatkan perhimpunan awam akan diteruskan sehingga pilihan raya umum jika bekas timbalan perdana menteri itu didapati bersalah.

“Kami akan teruskan. Perhimpunan sama akan diadakan di Pulau Pinang pada sebelah malam. Jika beliau dibebaskan maka Anwar akan diraikan di negerinya. Jika tidak kami akan ke Pulau Pinang untuk menuntut tuntutan kami,” katanya.

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman juga berkata parti Islam itu akan menyeru setiap kawasan untuk menggerakkan dan “walaupun mereka di Sabah dan Sarawak mahu menyertainya.”

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya, dakwaan yang mana beliau telah menafikan sekeras-kerasnya, selain mengatakan ia adalah agenda untuk memusnahkan karier politiknya. 

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mendengar hujah penutup dari 8 Disember hingga 15 Disember dan akan mengumumkan keputusan pada Isnin ini.

Harapan ketua pembangkang itu untuk bergelar perdana menteri mungkin akan musnah sekiranya mahkamah memutuskan beliau bersalah yang akan membawa hukumum penjara maksimum 20 tahun.

Azmin menyifatkan tuduhan liwat itu sebagai “konspirasi berbahaya” namun menegaskan hari ini “rancangan Pakatan Rakyat tidak akan tergelincir dan akan dipilih menerajui kerajaan pusat selepas ini.”

Anwar sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun pada 2000 tetapi Mahkamah Persekutuan mengubah keputusan pada 2004 dan membenarkan beliau mengetuai kempen pilihan raya 2008.

Pada pilihan raya itu pakatan pembangkang menafikan kemenangan dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen dan menawan lima negeri.

Dalam pada itu, tindakan menghasut orang ramai untuk berhimpun di kawasan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari ini boleh menggugat ketenteraman awam selain menghina pentadbiran sistem keadilan negara, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya dengan hasutan pihak yang tidak bertanggungjawab yang sengaja ingin membawa masalah mereka ke jalanan dan seterusnya menghuru-harakan negara.

“Banyak kain rentang yang digantung di tempat awam, serta mesej-mesej melalui media sosial yang mengajak dan menghasut orang ramai supaya berkumpul di perkarangan mahkamah pada hari mahkamah membuat keputusan kes perbicaraan (ketua pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim 9 Jan ini.

“Ini adalah menghairankan kerana mahkamah masih belum membuat apa-apa keputusan mengenai kes tersebut,” katanya dalam kenyataan dalam Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata setakat ini, 168 laporan polis diterima di seluruh negara daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan, peniaga, persatuan, ahli politik dan orang awam sebagai membantah kempen mengadakan perhimpunan itu.

“Saya berharap pemimpin atau penganjur perhimpunan tersebut menarik balik rancangan mereka untuk mengadakan perhimpunan itu kerana ia akan menyusahkan orang ramai, khususnya masyarakat umum di Kuala Lumpur,” kata Mohmad dalam satu kenyataan.

Beliau turut meminta penulis-penulis blog yang menggesa orang ramai menyertai perhimpunan itu supaya menghentikan penulisan mereka dengan serta-merta.

Melahirkan pandangan serupa dengan Khalid, Mohmad berkata: “Perbuatan itu boleh mengundang berlakunya pelanggaran undang-undang, menggugat ketenteraman awam dan menghina pentadbiran sistem keadilan negara kita.”

Mohmad seterusnya mengeluarkan amaran berikut: “Pada hari tersebut, sesiapa yang terlibat atau menyertai mana-mana pihak untuk meneruskan juga perhimpunan ini, polis akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.”

Jadi selepas membaca kesemua, apa agaknya pendapat anda?  Adakah perhimpunan ini KERJA MURNI ATAU KERJA GILA?      

No comments:

Post a Comment